KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi memastikan hasil tangkapan dapat dipasarkan dan kilang produk berkaitan perikanan boleh beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam satu kenyataan kepada Harian Metro, kementerian itu turut menjelaskan bahawa tidak ada isu mengenai bekalan ikan terjejas seperti didakwa sesetengah pihak dan ia masih mencukupi iaitu 150,000 tan metrik sebulan.
Katanya, satu pasukan khas sudah diwujudkan untuk melihat isu berkenaan demi memastikan hasil tangkapan nelayan dan penternak ikan dapat dipasarkan dan rakyat mendapat bekalan secukupnya.
Katanya, dakwaan mengatakan nelayan terhalang daripada melakukan aktiviti harian ketika PKP juga tidak benar kerana pemakluman mengenainya sudah dikeluarkan pada 21 Mac lalu.
Ia membabitkan kebenaran operasi nelayan, pengusaha akuakultur, pergerakan serta pemasaran perikanan susulan pengumuman PKP oleh kerajaan.
“Kita turut mengingatkan industri kritikal dalam bekalan makanan ini juga mesti bertanggungjawab memastikan langkah saringan dan pencegahan wabak Covid-19 wajib dilaksanakan demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya.
-tamat