Sungai Malagatan dicemari sisa kilang

SIASATAN segera perlu dilakukan segera terhadap pihak yang melakukan pencemaran di Sungai Malagatan, Tongod.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tongod, Datuk Masiung Banah berkata, beliau sudah memanggil wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sandakan, Pejabat Daerah Tongod, pengurusan ladang dan kilang berdekatan selepas mengetahui kejadian itu pada 8 April lalu.

“Selepas membuat pemeriksaan, memang ada bukti bahawa beberapa anak sungai terdapat longgokan sisa pepejal yang merisaukan.

“Susulan itu, saya meminta JAS membuat kajian terperinci dan mengambil tindakan susulan sekiranya perkara itu melanggar undang-undang.

“Keadaan sungai itu agak menyedihkan dan kita bimbang kerana arah aliran anak sungai terus ke loji rawatan air,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Masiung berkata, selama dua hari loji air tidak dapat memproses air kerana pencemaran Sungai Malagatan.

Sementara itu, penduduk, Lozinah Benedik, 38, berkata, pencemaran menyebabkan air sungai menjadi hitam dan berbau.

Katanya, sumber air bersih di kawasan mereka terputus susulan pencemaran sungai itu sekali gus menjejaskan urusan harian penduduk.

“Kami terpaksa gunakan air sungai yang tercemar itu untuk mandi dan sebagainya kerana sudah tiada cara lain.

“Selepas mandi guna air sungai, memang terasa gatal dan melekit serta berminyak.

“Kami juga terpaksa gunakan air sama untuk memasak dalam tempoh itu kerana tiada sumber air lain,” katanya.