Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berkata walaupun Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin merupakan rangsangan ekonomi yang paling besar dilaksanakan kerajaan, beliau yakin kerajaan masih mampu berbelanja untuk menyelamatkan ekonomi rakyat.
"Saya ulangi, defisit bukan keutamaan sekarang. Kalau perlu terbit sukuk atau bon khusus, tak perlu teragak-agak. Dari suatu sudut, adakalanya kerajaan bukan hanya wajar fikir kos berbelanja, tetapi juga kos jika tidak belanja," kata beliau pada Ahad.
Naib Ketua Pemuda UMNO itu juga tidak menolak kemungkinan kerajaan hanya menunggu masa yang lebih sesuai untuk mengumumkan pakej rangsangan tambahan.
BACA: Ini perkara yang anda perlu tahu tentang Bantuan Prihatin Nasional (BPN)
"Barangkali kerajaan bijaksana mahu 'simpan peluru' untuk satu lagi pakej yang lebih bersasar setelah penilaian penuh kesan COVID-19 dibuat kelak.
"Sebab kita tak tahu berapa lama dan berapa dalam kesan ekonomi dunia akibat krisis ini. Saya yakin PM dan Kabinet ada kebijaksanaan untuk mengurus situasi sebaik mungkin," katanya.
Pada masa sama, beliau turut berharap kerajaan mengkaji semula tempoh bayaran Bantuan Prihatin Nasional agar ia dipercepatkan dan menambah subsidi upah RM600 yang dikhuatiri tidak mencukupi demi membendung pengangguran berskala besar.
"Apa sekalipun, strategi untuk mengatasi permasalahan ini haruslah jelas dan dapat memberi ketenangan kepada semua pihak," tegas Shahril.