Kebakaran korban 5 beranak mula di dapur

KEBAKARAN rumah di Kampung Binsuluk, Membakut, semalam dipercayai bermula dari dapur sebelum merebak memusnahkan rumah berkenaan yang mengorbankan lima beranak.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, menurut pemilik rumah berkenaan Othman Ali, 64, api bermula dari arah dapur rumah.

“Ketika Othman sedang tidur di pejabatnya dalam rumah berkenaan, dikejutkan oleh jeritan anaknya sebelum dia keluar dari bilik dan melihat api sudah marak dengan kuat.

“Api bermula dari dapur rumah berkenaan sebelum merebak. Othman tidak sempat menyelamatkan isteri dan anaknya yang lain yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba yang menerima maklumat mengawal kebakaran dan pemeriksaan menemui lima mayat rentung iaitu mayat isteri dan empat anak pemilik rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa lima orang terperangkap di dalam rumah yang diperbuat daripada kayu dan empat orang berjaya keluar dari rumah.

“Dua penghuni yang cedera mendapat rawatan di Zon Kuning Hospital Kuala Penyu,” katanya.

Azmir berkata, mangsa yang meninggal dunia akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada 27 Mei ini.

Dalam kejadian semalam, Aishah Awang Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 ditemui rentung.

Bomba dilaporkan menerima panggilan pada 2.54 pagi sebelum kebakaran berkenaan dikawal pada 5 pagi.

Berita berkaitan:

  • Tunggu laporan kebakaran korban 5 beranak
  • Lima beranak rentung
  • Jeritan isteri, anak jadi penyelamat