Covid-19: Polis Melaka Tengah tubuh tiga task force

POLIS Melaka Tengah menubuhkan tiga pasukan khas secara bergerak bagi mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi tumpuan di daerah berkenaan.

Langkah terbabit bagi mengawal pergerakan yang tidak perlu, seterusnya meningkatkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, langkah drastik itu susulan daerah berkenaan dikategorikan sebagai zon merah wabak penularan Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, SJR di sekitar Melaka Tengah akan ditambah kepada lapan lokasi berbanding enam sebelum ini yang beroperasi 24 jam.

“Pasukan ini akan mendirikan SJR di dua atau tiga lokasi berbeza setiap hari berdasarkan kepada hasil pemantauan atau aduan diterima oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan Melaka Tengah menjadi daerah terbaru dikategorikan sebagai zon merah wabak Covid-19 selepas mencatatkan 44 kes sehingga 12 tengah hari semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan zon merah wabak penularan virus itu sebanyak 26 kawasan.

Afzanizar berkata, dalam tempoh penguatkuasaan PKP di daerah Melaka Tengah bermula 18 Mac lalu hingga semalam, pihaknya menerima sebanyak 155 laporan polis.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 101 kertas siasatan sudah dibuka, manakala kes yang dikompaun bermula 8 April lalu sebanyak 35 membabitkan 57 pesalah.

“Jumlah yang sudah didakwa pula 75, diikuti 154 yang ditangkap membabitkan 142 lelaki dan 12 perempuan, sementara 124 pesalah lagi sudah pun didakwa di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan