“TAHNIAH kepada semua pakar yang memberikan rawatan mantap dan berkesan kepada semua pesakit Covid-19 sama ada di wad biasa atau Unit Rawatan Rapi (ICU),” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, kadar kematian yang dicatatkan di negara ini adalah 1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes berbanding antara 4.6 hingga 5.6 peratus di negara lain.
“Kadar kematian adalah rendah di negara kita dan ini menunjukkan perkhidmatan perubatan kita seperti di wad biasa atau ICU adalah pada tahap baik dan memuaskan.
“Malah, pakar kita memberikan rawatan sebaik mungkin kepada semua pesakit,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, jika dilihat sekarang, 88 peratus daripada pesakit Covid-19 adalah tidak bergejala atau hanya mempunyai gejala ringan.
“Tetapi kita asingkan mereka dalam tempoh antara 10 hingga 14 hari.
“Kita juga akan mengulangi ujian untuk memastikan mereka benar-benar bebas, malah ujian perlu negatif dalam tempoh 24 jam sebelum mereka dibenarkan pulang,” katanya.
Mengenai penggunaan ubat Hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19, beliau berkata, ia dikategorikan sebagai ubat ‘off label’ yang bermaksud tidak dikhaskan untuk rawatan Covid-19.
Katanya, sebelum menggunakan ubat itu, pihaknya perlu melihat keberkesanan dan memantau kesan sampingan ubat terutama mereka yang ada gejala atau penyakit lain.
Menurutnya, ini kerana ubat itu mempunyai beberapa kesan sampingan seperti sakit kepala, kabur penglihatan, lemah otot atau cirit birit.
“Dalam jangkitan Covid-19 ada dua peringkat, peringkat pertama adalah jangkitan dan kedua ada keradangan.
“Di peringkat keradangan inilah yang menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan tidak dapat bernafas dengan baik serta perlu diberikan bantuan pernafasan,” katanya.
Menurutnya, pengambilan ubat ini di peringkat awal dapat mengelakkan pesakit berada di kategori lebih teruk iaitu empat dan lima.
Sementara itu, Dr Noor Hisham sekali lagi menegaskan 80 peratus daripada kakitangan kesihatan mendapat jangkitan Covid-19 dari luar fasiliti kesihatan.
“Tiada seorang pun daripada mereka sama ada yang bertugas di wad biasa atau ICU yang merawat pesakit Covid-19 dijangkiti setakat ini.
“Mungkin saya boleh katakan ia tempat paling selamat kerana mereka mengenakan pakaian perlindungan peribadi (PPE) sebelum melakukan prosedur atau merawat pesakit,” katanya.