Bayi lahir dengan usus atas para-paru

SEORANG bayi yang baru berusia enam hari dilahirkan dalam keadaan usus di atas paru-paru.

Ibu bayi berkenaan, Annie Liza Wabiso, 33, berkata, anaknya Siti Aisyah Mohd Zulhusni dilahirkan di hospital pada 6 April lalu secara pembedahan.

Menurutnya, pegawai perubatan kemudian memaklumkan bayinya itu memiliki masalah.

“Usus Siti Aisyah tidak seperti sepatutnya. Ia berada di atas paru-paru dan keadaan itu sebenarnya sesuatu yang membahayakan nyawa.

“Pegawai perubatan menasihatkan pembedahan dijalankan. Tetapi masalahnya kami tidak mampu dan tiada wang yang mencukupi untuk menanggung kos berkenaan.

“Pegawai perubatan memaklumkan mereka boleh mengembalikan keadaan usus Siti Aisyah seperti kebiasaan dan ia akan dilakukan oleh pakar perubatan dari Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Annie berkata, rawatan itu dijangka mencecah kos ribuan ringgit tambahan pula dia hanya pemegang Pas Pengenalan Sementara IMM13.

“Siti Aisyah juga sepatutnya tidak boleh dibawa pulang ke rumah atau keluar dari wad kerana perlu bergantung dengan oksigen pernafasan.

“Semasa kami bawa keluar pada 8 April lalu, pegawai perubatan ada memberitahu pada bila-bila masa, dia boleh pergi jika tiada sambungan oksigen.

“Tapi kami tidak boleh lama tinggal di wad hospital kerana kos pasti sangat besar untuk dibayar nanti,” katanya.

Menurutnya, hanya Allah yang tahu perasaan dialaminya ketika ini.

“Kami di rumah sangat gembira dapat menatap dia setiap hari dan terasa sangat syahdu bila mendengar tangisannya.

“Kalau boleh, saya tidak mahu fikirkan langsung tentang itu, tapi tetap terfikir juga. Itulah hakikatnya jika dia tidak dibedah dengan segera,” katanya yang berharap ada pihak tampil membantu keluarganya.