Bukan kes rompakan bank

POLIS menafikan berlaku kejadian rompakan bank di pekan Jasin, semalam, seperti tular di laman Facebook (FB) dan dimuat naik sebuah portal berita sejak tengah hari.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, beliau yang turut berada di tempat kejadian, menafikan video berdurasi 11 saat yang tular itu adalah kejadian rompakan dan tiada berlaku insiden tembak-menembak seperti disiarkan itu.

Beliau berkata, kejadian sebenarnya adalah polis ketika itu menahan dan memberkas dua lelaki yang cuba melarikan diri sejauh kira-kira 15 kilometer dari FELDA Bukit Senggeh ke arah pekan Jasin.

“Sebelum kejadian itu, dua lelaki menaiki kereta Proton Waja berwarna hitam itu dilihat dalam keadaan mencurigakan kerana berhenti di tepi jalan sunyi.

“Polis yang pada ketika itu menjalankan rondaan, mendekati kereta berkenaan, namun pemandu berusia 26 tahun yang turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu terus memecut melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Bulatan Rim, Jasin dengan bantuan 10 anggota polis peronda (MPV) dan trafik, selepas dikejar 15 minit.

Difahamkan lelaki berusia 26 tahun itu bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suspek kedua berusia 24 tahun bekerja sebagai kelindan lori.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Tanjung Kling, Melaka Tengah itu, mengaku melarikan diri disebabkan rasa takut daripada diperiksa oleh polis selepas berhasrat untuk bertemu dengan teman wanitanya.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jasin untuk siasatan. Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.