PLUS mantapkan operasi di musim perayaan

SYARIKAT konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memantapkan operasi lebuh raya kendaliannya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sewaktu musim perayaan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Pengarah Urusannya Datuk Azman Ismail dalam kenyataan semalam berkata, PLUS berkolaborasi dengan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) untuk memastikan keselamatan lebuh raya dan penguatkuasaan undang-undang di beberapa plaza tol utama lebuh raya dipatuhi serta untuk bantuan kecemasan.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki mencukupi sebelum memasuki lebuh raya dan PLUS turut menempatkan 2,900 kakitangan dalam eko-sistem PLUS di lebuh raya.

“Penggunaan dron untuk membuat pemantauan trafik di lokasi strategik di lebuh raya dilakukan selain menutup operasi lorong tambah nilai di plaza tol untuk membendung penularan Covid-19 melalui intervensi terus dalam kalangan kakitangan dan pelanggan lebuh raya.

“Polis akan mengadakan sekatan jalan raya ketat berikutan dalam tempoh PKPB orang ramai dilarang melakukan perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan dan hanya perjalanan dalam negeri dibenarkan.

“Selain itu, anggota PLUSRonda akan mengadakan rondaan di sepanjang lebuh raya,” katanya.

Azman berkata, pihaknya menjangkakan sejuta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendalian syarikat sepanjang Syawal tahun ini.

“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif daripada pihak berkuasa sebagai langkah untuk membendung penularan Covid-19.

“Semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) masih ditutup, hanya tandas awam dan kawasan meletak kenderaan di R&R dibuka kepada orang ramai susulan pelaksanaan PKPB,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik, talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, aplikasi PLUS Mobile, papan tanda elektronik dan laporan trafik menerusi stesen radio utama.

“Orang awam juga boleh menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya selain boleh berinteraksi dengan ‘PUTRI’, virtual PLUS chatbot untuk maklum balas berkaitan perkhidmatan lebuh raya menerusi laman web PLUS (www.plus.com.my), portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my), dan Aplikasi PLUS,” katanya.

Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

Lagi berita berkaitan Covid-19