Ditahan sembunyi 840 karton rokok seludup

DUA lelaki, termasuk warga Indonesia ditahan di Jalan Tentera di Johor Bahru, hari ini, ketika cuba memunggah rokok seludup dari kenderaan yang diparkir.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, lelaki berusia 25 dan 29 tahun itu cuba menyembunyikan 840 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM290,606.40 dalam empat kenderaan.

“Dua suspek itu dipercayai menjadikan kenderaan yang diparkir itu sebagai ‘stor’ penyimpanan rokok seludup berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kesemua empat kenderaan bercermin gelap itu digunakan menyembunyikan 840 karton rokok seludup yang ditutup dengan kain hitam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan rokok seludup dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.