‘Terima kasih pakcik ku’ [METROTV]

TINDAKAN berani dan pantas seorang bapa saudara berjaya menyelamatkan nyawa tiga beradik dalam kebakaran rumah di Sungai Labu Bawah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, hari ini.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, Osman Awee, 44, berkata dia yang sedang tidur di ruang tamu rumah, terjaga berikutan terhidu bau asap.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia terdengar suara jeritan anak saudara perempuan, Nur Amira Najwa Abd Jalil, 15, yang tidur di bilik tingkat atas rumah.

“Sebaik dengar jeritan itu, saya menaiki tingkat ke atas dan terkedu melihat api mula membakar biliknya.

“Saya terus menerpa dan menyelamatkannya yang kelihatan ketakutan di dalam bilik itu sebelum mendapatkan dua lagi anak saudara iaitu Muhammad Danish Iskandar, 17 dan Muhammad Syafiq 16, yang tidur lena di bilik sebelah.

“Saya membawa mereka keluar dari rumah yang sedang terbakar melalui pintu belakang,” katanya.

Osman berkata, dia bersama tiga anak saudaranya hanya mampu melihat kejadian itu tanpa sempat berbuat apa-apa sehinggalah kebakaran dipadamkan sepenuhnya pihak bomba sekitar 6 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian kakaknya yang juga ibu kepada tiga beradik itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.

OSMAN (kiri) menunjukkan rumahnya yang terbakar kepada Md Nayan. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
OSMAN (kiri) menunjukkan rumahnya yang terbakar kepada Md Nayan. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

“Susulan kejadian itu, kami tinggal sehelai sepinggang dan kini menumpang sementara di rumah sewa dan difahamkan sewanya dibiayai pihak Baitulmal.

“Kejadian ini memberikan kesan mendalam pada kami sekeluarga berikutan kita masih lain menyambut Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parit Buntar yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian, , Md Nayan Salleh berkata, terdahulu Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri hadir bersama beberapa pihak berkaitan dan menyampaikan bantuan awal iaitu bantuan Tabung Bencana Daerah berjumlah RM2,000 kepada mangsa.

Katanya, mereka difahamkan kerajaan negeri akan membantu mendapatkan kediaman baru kepada keluarga itu di Bagan Tiang.