UNILEVER Malaysia menyumbang makanan dan produk kebersihan bernilai RM1.2 juta kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.
Melalui komitmen ini, Unilever bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mengedarkan lebih 22,000 sabun Lifebuoy, produk penjagaan diri dan makanan.
Semua produk disalurkan juga akan diberi kepada petugas barisan hadapan, warga emas, golongan B40, ibu tunggal dan pelarian.
Selain itu, Unilever turut bekerjasama dengan persatuan komuniti tempatan, Kembara Kitchen, Total Lost Food Project, termasuk pusat jagaan orang tua dan rumah anak yatim bernilai lebih RM677,000 yang dapat dimanfaatkan lebih 11,000 orang.
Semua produk itu mula diagihkan dan dihantar ke 36 hospital di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Bermula 10 April ini, Unilever Malaysia juga akan mengagihkan aiskrim Walls dan 9,500 topeng muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lembah Klang, kanak-kanak dan warga emas di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia dan gelandangan.
Pengarah Urusan Unilever Malaysia-Singapura, Annemarieke de Haan berkata, Unilever adalah organisasi yang sentiasa berusaha memenuhi keperluan masyarakat.
“Kami berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan seperti KKM, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan untuk menyokong usaha ini terutama pada tempoh sukar ini.
“Kami juga menghargai usaha dan penat lelah kakitangan kesihatan dan petugas awam yang sentiasa memastikan keselamatan orang ramai.
“Bagi pihak Unilever, saya mengucapkan terima kasih,” katanya dalam kenyataan di sini.