Ingkar PKP: Denda RM1,000 terlampau rendah, masih ramai ingkar – Ismail Sabri

Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara untuk melihat semula kadar denda dan tempoh penjara. Gambar hiasan/ Astro AWANI.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan untuk menaikkan kadar kompaun dan denda terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada kadar sedia ada iaitu RM1,000.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan serius untuk membuat pertimbangan semula memandangkan jumlah mereka yang ditahan masih tinggi walaupun telah memasuki hari ke-24 PKP.

Selain menaikkan kadar kompaun serta denda, beliau berkata, tempoh hukuman penjara juga perlu dipanjangkan agar ia menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang lain.

“Kalau lihat di Singapura, (berkuat kuasa) 17 april ini, hukuman pesalah pertama adalah SD10,000 (RM30,492), kesalahan kedua SD20,000 (RM60,948). Di Korea Selatan, kesalahan pertama sekali pun RM35,000. Di Indonesia kalau tak silap saya 300 juta rupiah (RM82,000).

“Kita mungkin nak minta Kementerian Kesihatan bincang dengan Pejabat Peguam Negara, kalau perlu, kita boleh naikkan lagi denda kompaun.

"Hukuman penjara pun boleh ditambah dan sebagainya supaya boleh jadikan deterrent (pencegahan), untuk memastikan tiada keingkaran terhadap PKP,” katanya lagi dalam sidang media harian COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan memberitahu bahawa pihak polis telah menahan 666 individu, di mana 392 individu dikenakan kompaun RM1,000 selain 263 individu direman dan 11 individu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Jumlah tangkapan ingkar PKP daripada 18 Mac hingga 9 April 2020, adalah seramai 7,479,” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, polis dan Angkatan Tentera Malaysia telah mengadakan 775 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan 508,605 kenderaan serta 5,538 premis diperiksa selain 38,854 pemeriksaan mengejut.