Krisis dan ledakan kelahiran bayi – mitos atau realiti?

Ramai pasangan dan keluarga banyak menghabiskan masa bersama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KUALA LUMPUR: Di sebalik lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini bagi membendung penularan COVID-19, kini timbul persepsi mengenai kemungkinan langkah tersebut akan turut menjurus kepada peningkatan luar biasa atau ledakan jumlah kelahiran bayi di Malaysia.

Jangkaan berlakunya 'baby boom' itu timbul berikutan hakikat bahawa semakin ramai pasangan dan keluarga yang kini banyak menghabiskan masa bersama selepas pelaksanaan kawalan pergerakan itu dimulakan sejak 18 Mac lepas.

Malah, idea mengenai ledakan jumlah kelahiran itu adalah sesuatu yang disambut baik di Ukraine yang menggalakkan rakyatnya menambah zuriat berikutan angka demografi yang terus menyusut.

Laporan memetik kenyataan Presidennya, Volodymyr Zelenskiy menggesa rakyat Ukraine untuk "duduk di rumah, membaca dan menonton filem.

"Bagi golongan muda…kita mempunyai krisis, namun tiada siapa pun yang mengakhiri krisis demografi di Ukraine. Bagi saya, inilah masa terbaik untuk turut menangani masalah ini," kata beliau.

Jika diamati, jumlah penduduk negara itu telah merosot kepada 37.3 juta berikutan tindakan penghijrahan keluar serta kadar kelahiran yang rendah berbanding 52 juta orang pasca kemerdekaannya pada 1991.

KETERUJAAN, NAMUN…

Prof Yeah Kim Leng dari Fakulti Perniagaan, Universiti Sunway menyifatkan ledakan kelahiran bayi itu memberi satu 'keterujaan' memandangkan lonjakan kadar kelahiran akan lebih merancakkan operasi penyedia perkhidmatan dan kemudahan berkaitan seperti hospital, klinik dan rumah bersalin yang menyediakan penjagaan kesihatan sebelum dan selepas bersalin.

"Perdagangan dan industri runcit yang memenuhi keperluan ibu dan bayi seperti makanan bayi, pakaian dan aksesori dijangka mengalami pertambahan permintaan jika PKP ini pada akhirnya terbukti meningkatkan reproduksi.

Ini memandangkan kadar kesuburan Malaysia susut secara ketara manakala peningkatan jumlah penduduk pula ternyata lebih perlahan.

"Kelahiran yang lebih tinggi akan disambut baik," katanya kepada Bernama.

Jabatan Perangkaan mengunjurkan jumlah penduduk Malaysia pada 2019 adalah sebanyak 32.6 juta orang — 29.4 juta ialah rakyat Malaysia manakala 3.2 juta lagi bukan warganegara iaitu meningkat sedikit daripada 32.4 juta pada 2018.

Walaupun sukar untuk meramalkan sejauh mana magnitud ledakan kelahiran bayi namun daripada perspektif demografi, jangkaan peningkatan kelahiran adalah positif memandangkan penurunan pertumbuhan jumlah penduduk adalah lebih ketara berbanding jangkaan, katanya.

Kadar pertumbuhan penduduk tahunan misalnya susut kepada 0.6 peratus pada 2019 berbanding 1.1 peratus pada 2018 akibat penurunan kadar kesuburan dan penghijrahan bersih antarabangsa.

Beliau berkata golongan yang memiliki jaminan kewangan sewajarnya dapat memberi sumbangan penting kepada ekonomi dengan mengekalkan atau meningkatkan perbelanjaan, termasuk menambah saiz keluarga atau mempunyai anak-anak lebih awal dalam kehidupan.

Bagaimanapun, langkah pembaharuan selepas krisis perlu dilaksanakan untuk kumpulan B40; menumpukan pertumbuhan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup kumpulan ini yang dijangka mencatatkan kadar kelahiran lebih tinggi, katanya.

Yeah berpandangan penjimatan dalam perbelanjaan untuk hiburan, makan di luar dan barangan isi rumah akan mengimbangi pengurangan gaji dan pendapatan.

"Ramai yang cenderung untuk menyimpan lebih banyak semasa tempoh tidak menentu. Inilah peluang untuk menambah simpanan khususnya bermanfaat bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan dan keperluan seperti pemilikan rumah, pendidikan, peningkatan kemahiran serta modal untuk usaha perniagaan.

"Memandangkan isi rumah berpendapatan rendah cenderung mempunyai keluarga lebih besar, peningkatan kelahiran yang dijangkakan itu akan memburukkan lagi keadaan pengagihan pendapatan yang tidak sekata di negara ini.

"Jadi, kesan negatif yang tidak diingini boleh berlaku termasuk meningkatnya kelemahan kewangan isi rumah berpendapatan rendah serta masalah sosial berkaitan seperti simpanan persaraan tidak mencukupi," katanya.

ISU PERDEBATAN

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Ali Salman berkata persepsi mengenai fenomena ledakan 'baby boom' di Malaysia pada awal tahun depan masih lagi boleh diperdebatkan.

"Apabila tempoh sekatan pergerakan ini tamat kelak, ia akan turut meningkatkan kebimbangan dalam kalangan sebahagian besar penduduk mengenai perkara berkaitan kewangan mereka di masa-masa akan datang yang seterusnya mempengaruhi keputusan mereka.

"Meskipun dijangkakan kadar kelahiran meningkat sedikit iaitu mungkin di kawasan luar bandar, saya berpendapat ia masih dalam kadar yang biasa," katanya.

Pada sesi taklimat prestasi kewangan 2019, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata perkembangan ekonomi pada 2020 telah mengalami perubahan mendadak; daripada unjuran awal pemulihan sederhana dan stabil kepada jangkaan pertumbuhan asas ekonomi antara -2.0 kepada 0.5, sebelum kembali pulih pada 2021.

Bank pusat itu turut mengunjurkan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.0 peratus tahun ini berbanding 3.3 peratus pada 2019 serta pasaran tenaga kerja yang lembap akibat pandemik itu.

"Kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan pendapatan berkurangan boleh mempengaruhi keputusan individu terjejas ini untuk mempunyai lebih ramai anak walaupun tempoh PKP ini dikatakan boleh menggalakkan keluarga memilih memiliki anak lebih awal," kata Yeah.

Usaha pewujudan pekerjaan di Malaysia akan bergantung kepada kadar pemulihan serta pelaburan baharu.

"Keupayaan menarik pelaburan langsung asing yang didorong oleh gangguan rantaian bekalan global dalam tempoh krisis pandemik yang berterusan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan pekerjaan di negara ini," katanya.

MENOLAK MITOS

Pengarah Program Psikologi di Pusat Pengajian Seni Liberal dan Sains Universiti Taylor's Prof Madya Dr Anasuya Jegathevi Jegathesan berkata ledakan kelahiran bayi itu tidak mungkin berlaku.

"Ia adalah mitos. Sejarah telah menunjukkan bahawa selepas krisis besar apabila semua orang perlu duduk di rumah, tiada ledakan kelahiran bayi selepas itu. Tanggapan atau mitos itu muncul kerana ia dianggap sebagai menarik.

"Tetapi walaupun ia adalah mitos, ia sebenarnya menggambarkan tempoh pandemik COVID-19 (sekatan pergerakan) yang panjang dan adanya kondom yang boleh mengubah mitos kepada realiti," katanya.

Terdapat kekurangan bekalan kondom apabila kilang pengeluarnya perlu menggantung operasi sebagai pematuhan kepada PKP.

Beliau turut berkongsi kebimbangan Yeah mengenai peningkatan kadar kelahiran, terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan yang sememangnya tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan mereka mengalami masalah kewangan.

Malah, Anasuya berkata jika diamati secara realitinya, pasangan didapati sering bertengkar semasa tempoh sekatan pergerakan.

Salah satu contoh menarik adalah di China yang menyaksikan kes perceraian meningkat selepas sekatan pergerakan dikenakan susulan pandemik COVID-19.

— BERNAMA