Berkongsi pendapat mengenai nasib golongan ini, seorang penjawat awam Zulaikha Ekkau, 38 berkata beliau bimbang dengan nasib dan keselamatan yang menimpa golongan itu ketika penularan wabak COVID-19.
"Baru-baru ini saya ada lihat seorang lelaki kurang siuman duduk di kaki lima sekitar bandar Kangar, beliau dilihat merayau mencari makanan… saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu golongan ini dengan menyediakan penempatan khas untuk mereka berteduh sepanjang tempoh PKP," katanya.
Turut meluahkan kebimbangan, Narimah Rashid, 64, berkata beliau sering melihat golongan ini sekitar pasar pagi ketika keluar memberi barang keperluan memasak.
Ketika orang ramai sibuk mengambil langkah pencegahan dan berjaga-jaga dengan menggunakan pencuci tangan dan memakai penutup mulut dan hidung setiap kali keluar dari rumah, golongan ini hanya fikir untuk mendapatkan makanan bagi mengalas perut.
"Apa yang penting bagi mereka adalah mengisi perut untuk hari itu, mereka tidak faham apa guna penutup mulut dan hidung serta kepentingan menjaga kebersihan diri seperti kita yang masih waras ini," kata suri rumah itu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, setakat ini tiada tempat tinggal khas disediakan untuk golongan gelandangan di negeri ini kerana kebanyaka mereka telah dihantar pulang ke rumah keluarga masing-masing sepanjang tempoh PKP.
"Terdapat dua kategori gelandangan iaitu gelandangan normal dan gelandangan Orang Kurang Upaya (OKU) atau pesakit mental… Gelandangan normal kita dah selesaikan, yang tak dapat selesai adalah masalah gelandangan OKU pesakit mental kerana mereka ini di luar bidang kuasa JKM," katanya.
Beliau berkata, kesemua gelandangan yang mempunyai keluarga di Perlis telah dihantar pulang ke rumah keluarga masing-masing namun masih terdepat beberapa gelandangan yang masih berdegil ingin kekalkan kehidupan mereka.
"Kita juga telah menghantar pulang gelandangan dari luar Perlis iaitu dari Kedah dan Pulau Pinang ke rumah keluarga mereka sejak awal PKP lagi," katanya
Lebih 20 gelandangan telah dihantar pulang sejak tiga tahun lepas, manakala sepanjang tempoh PKP ini, empat orang gelandangan yang aktif berkeliaran di Kangar, Kuala Perlis dan Padang Besar telah dihantar pulang. – BERNAMA