Arab Saudi sumbang juadah iftar di Hospital Putrajaya

HOSPITAL Putrajaya menerima sumbangan berbuka puasa daripada Kedutaan Arab Saudi menerusi Program Iftar Penjaga Dua Kota Suci (IFTARKHS), hari ini.

Sumbangan disampaikan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Datuk Dr Mahmoud Hussin Saeed yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Hadir sama wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putrajaya, Ghazali Abd Rahman dan Mejar (PA) Ahmad Junaidi.

Adham berkata, pihaknya merakamkan ribuan terima kasih atas sumbangan diberikan kerajaan Arab Saudi kepada petugas barisan hadapan itu.

Sumbangan berbuka puasa itu adalah inisiatif Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang berkenan menyalurkan sumbangan berbuka puasa dan bakul bantuan Ramadan membabitkan peruntukan RM5.7 juta (5 juta Saudi Riyal) kepada 18 negara, termasuk Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi turut mengagihkan 15,000 pek makanan berbuka puasa dan 1,000 bakul bantuan barangan asasi untuk diagihkan kepada komuniti Rohingya, masyarakat Orang Asli dan komuniti anak kelahiran Arab Saudi di negara ini.

Penyelarasan proses pengedaran sumbangan itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Ilmuan Malaysia (iLMU), APM dan Syarikat Zepto Express Malaysia selaku perkhidmatan penghantaran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan