Mufti Perak beransur baik

KESIHATAN Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh kini beransur baik dan stabil.

Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir berkata, Harussani sudah mula menunjukkan respon positif petang semalam selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 9 pagi akibat strok.

“Keadaannya agak teruk semalam tetapi sudah beransur baik dan hingga hari ini Tan Sri (Harussani) bertambah ‘responsive’ berbanding semalam.

“Sekarang ini, beliau juga memberi respon kepada soalan mudah yang kita tanya padanya dan juga boleh bercakap beberapa perkataan dan ada reaksi emosi,” katanya ketika sidang media khas selepas lawatan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin di ICU hospital berkenaan hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Dr Zakaria berkata, keadaan Harussani semalam lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap.

Menurutnya, buat masa ini Harussani akan dirawat di ICU dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum dapat dipindahkan ke wad biasa.

“Tan Sri semalam agak kurang rehat jadi kita memberi dia rehat, rawatan strok untuk mengembalikan semula perjalanan darah juga rawatan beberapa penyakit biasa yang dialami Tan Sri.

“Kita akan melihat kepada respon dan setakat ini bertambah baik, kebiasaanya kita akan memantau pesakit di ICU sehingga keadaannya stabil sebelum dapat memindahkannya ke wad dan kita akan memulakan rawatan fisioterapi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, JAIPk selepas ini akan mengeluarkan pekeliling kepada masjid di negeri ini untuk menganjurkan solat hajat dan bacaan Yassin bagi mendoakan kesihatan Mufti Perak.

“Kita berharap orang ramai untuk mendoakan kesihatan Mufti Perak pulih seperti sedia-kala, jasanya begitu besar dan khidmat baktinya masih diperlukan,” katanya.

Semalam, Harussani dikejarkan untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta akibat serangan strok selepas solat Subuh.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak dan sebagainya.

Berita berkaitan

• Abah mengadu tidak boleh bangun – Anak Mufti Perak

• Mufti Perak diserang strok masuk hospital