Perlu bantu rakyat jana pendapatan

STRUKTUR ekonomi semasa perlu diubah supaya rakyat yang diberhentikan kerja kesan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat menjana pendapatan.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, dengan kelonggaran yang diberi kerajaan sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penstrukturan ekonomi sangat diperlukan.

Katanya, ia bagi membolehkan golongan yang hilang pekerjaan menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan dan sumbangan.

“Ramai yang kehilangan pekerjaan kerana diberhentikan kesan daripada pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan melaksanakan PKP bagi memutuskan penularan.

“Namun kerajaan perlu mengubahsuai ekonomi bagi memberi peluang kepada rakyat yang hilang pekerjaan mendapat semula pendapatan menampung keluarga.

“Seperti contohnya memberi kelonggaran berniaga secara kecil-kecilan, walaupun untung tidak besar tetapi mereka ini mempunyai wang harian untuk menyara keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Michael Tay, mungkin sekiranya keadaan bertambah baik, sektor pelancongan domestik boleh digiatkan.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai kerja juga perlu berusaha mempertingkatkan kemahiran menggunakan ruang dan peluang yang ada.

“Melakukan perniagaan walaupun secara kecilan perlu memanfaatkan pemasaran secara dalam talian terutama ketika kerajaan melaksanakan PKPB,” katanya.