PKP: 150 penghantar makanan diperiksa

“APABILA ada segelintir penghantar makanan ‘buat hal’, sudah tentu yang lain juga turut terkesan,” kata penghantar makanan bermotosikal, yang mahu dikenali sebagai Zaini, 35.

Zaini yang sudah hampir setahun bekerja sambilan sebagai penghantar makanan bermotosikal dengan sebuah syarikat turut terkilan dengan tindakan individu terbabit.

“Melakukan pemeriksaan kepada penghantar makanan adalah tindakan tepat pihak berkuasa bagi mengelak kejadian ini daripada berulang.

“Cuma ia akan menyebabkan penghantaran makanan kepada pelanggan menjadi sedikit lewat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zaini adalah antara 150 penghantar makanan yang diperiksa anggota polis berhampiran Jalan Ria, dekat Georgetown, 4.45 petang hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan itu dijalankan secara rawak terhadap barangan yang dibawa penghantar makanan bermotosikal.

Katanya, ia berikutan video tular di media sosial mengenai seorang penghantar makanan membawa bekalan rokok seludup.

“Polis tidak menemui barangan yang mencurigakan pada tempat simpanan makanan ketika pemeriksaan dijalankan.

“Kepada penghantar makanan, dinasihati supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang diberi kepada mereka bagi melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Video berdurasi 11 saat itu menunjukkan penghantar makanan menunjukkan rokok seludup diletakkan dalam kotak makanan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan