SEMUA sektor memainkan peranan masing-masing dalam mengurus dan membendung wabak Covid-19 di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesihatan adalah tanggungjawab bersama kerana setiap sektor adalah sektor kesihatan.
“Sempena Hari Kesihatan Sedunia hari ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas perubatan dan kesihatan terutama mereka di barisan hadapan sama ada sektor swasta, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Sekalung penghargaan kepada petugas belakang tabir yang memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dalam memastikan kesiapsiagaan dan kelancaran respons di lapangan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham berkata, dalam situasi getir petugas barisan hadapan dan belakang tabir sedang bekerja bertungkus lumus tanpa mengenal lelah namun mereka cekal berjuang.
“Perjuangan ini kita perlu pikul bersama sehingga kita berjaya mengakhiri penularan pandemik ini,” katanya.
Beliau sekali lagi menasihati orang ramai supaya duduk di rumah dan mengamalkan tahap kebersihan yang optimum serta penjarakan sosial.
Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan melalui segala maklumat diperoleh dan akan memaklumkan kepada rakyat.