Berpantang maut sebelum ajal

SEORANG wanita terselamat daripada maut selepas sempat keluar menyelamatkan diri dari keretanya yang terbakar ketika menghidupkan enjin dalam kejadian di Jalan Bundusan, di Penampang, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 20-an dikatakan cuba menghidupkan kereta Proton Saga miliknya sebelum terhidu asap dari bahagian enjin.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Mohd Khairul Abd Kohir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12.45 tengah hari.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari BBP Penampang.

“Setibanya di lokasi, api masih marak membakar sebahagian besar kenderaan berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran air dari jentera bomba. Api kebakaran berjaya dikawal pada 12.56 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khairul berkata, Proton Saga berkenaan musnah 100 peratus namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden berkenaan.