ASPEK penjagaan kebersihan antara langkah yang perlu ditekankan bagi memastikan penyebaran Covid-19 tidak berlaku antara manusia dan haiwan peliharaan.
Bagi Wani Syahira Abdul Wahid, 33, kebersihan diri dan persekitaran kediaman menjadi keutamaan untuk memastikan dirinya dan dua kucing peliharaan tidak dijangkiti pandemik maut itu.
Menurutnya, bagi mengurangkan risiko, dia dan suami Mohd Kamarul Arifin Abdullah, 33, akan terus membersihkan diri sebaik pulang ke rumah sebelum bermain dengan kucing baka Parsi kesayangan.
“Kebersihan diri memang saya amalkan sejak mula membela kucing tiga tahun lalu. Tiada masalah meneruskan rutin itu namun kini lebih teliti terutamanya ketika wabak ini masih menular.
“Saya juga sentiasa memantau tahap kesihatan kucing sekiranya tiba-tiba bertukar pasif dan memerlukan pemeriksaan kesihatan segera. Setakat ini kucing peliharaan saya aktif dan hanya berada dalam kawasan rumah,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, Mohd Badrizam Omar, 42, menekankan penjagaan kebersihan kepada anaknya setiap kali mahu bermain dengan kucing peliharaan.
Katanya, anak kini dididik mencuci tangan dengan sabun sebelum dan selepas bermain dengan 12 ekor kucing baka Mancoon yang dibela sejak empat tahun lalu.
“Bilangan kucing yang banyak menyebabkan saya menitikberatkan penjagaan kebersihan kepada keluarga dan haiwan peliharaan agar bebas dari sebarang jangkitan.
“Namun, sebagai langkah penjagaan jangka panjang, saya turut memberikan suntikan vaksin untuk semua kucing selain haiwan itu akan lebih kerap dimandikan untuk terus berada dalam keadaan bersih,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pemilik haiwan peliharaan lebih berwaspada dengan mementingkan aspek kebersihan khususnya ketika negara dilanda wabak maut ini.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) dalam kenyataannya memaklumkan pemilik haiwan tidak perlu menjalankan ujian pengesanan Covid-19 terhadap haiwan mereka.
Dalam kenyataan itu, penemuan saintifik terkini mendapati walaupun haiwan kesayangan boleh dijangkiti wabak itu namun tidak berbahaya kerana hanya menyebabkan jangkitan ringan terhadap haiwan.
Jumlah virus pada haiwan adalah rendah untuk disebarkan kepada manusia.