Mangsa banjir di Bagan Serai meningkat

MANGSA banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bagan Serai hari ini meningkat kepada 54 berbanding 23 mangsa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, jumlah terkini mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Alor Pongsu, seramai 44 mangsa terdiri daripada 10 keluarga, manakala di PPS SK Parit Haji Aman pula seramai 10 mangsa membabitkan empat keluarga.

“Secara keseluruhannya, seramai 54 mangsa banjir terdiri daripada 14 keluarga kini ditempatkan di dua PPS di Bagan Serai.

“Keadaan paras air yang bertakung di kediaman penduduk di Kampung Matang Tengah, Alor Pongsu dan Parit 3, Alor Setanggok, Semanggol, kini menunjukkan trend penurunan, begitu juga laluan FT147 di Jalan Bagan Serai – Changkat Lobak yang menghubungkan daerah Kerian dan Selama.

“Sekiranya keadaan cuaca bertambah baik, kami jangkakan kejadian banjir ini akan pulih sepenuhnya, “katanya dihubungi, malam ini.

Dalam pada itu, Mohd Sabli turut menyampaikan sumbangan wang ihsan Tabung Bencana Daerah (TBD) kepada semua keluarga yang terjejas.