PELUANG dan kepercayaan kali kedua dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak akan digunakan sebaiknya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya untuk berbakti kepada rakyat negeri itu.
Ini kerana, pelantikan itu adalah tanggungjawab besar yang perlu digalas terutama ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19, yang akan menjadi fokus awal pentadbiran negeri dalam masa terdekat.
Katanya, semua tujuh Exco yang mengangkat sumpah semalam sudah tentu akan memberi tumpuan kepada isu berkenaan yang mencetuskan kebimbangan termasuk di Perak.
“Sudah tentulah kami akan ada portfolio masing-masing. Namun pada masa sama kami perlu bantu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk pastikan Perak dapat menangani wabak ini.
“Secara jangka masa panjang, banyak objektif yang akan dilihat dan saya akan bantu mengikut pengalaman yang ada dalam politik serta pentadbiran,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau yang pernah dilantik Exco dalam kerajaan sebelum ini turut memuat naik status di Instagram, memohon restu ibu bapa selepas pelantikan itu.
“Ramai yang tidak tahu, bapa saya adalah bekas Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Adun Rungkup, tempat saya wakili sekarang ini.
“Antara pesanan yang saya ingat adalah usaha, reda dan tawakal. Ini yang saya pegang dari dulu sejak awal masuk politik. Selepas kita usaha, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai,” katanya.
Majlis angkat sumpah semalam berlangsung di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah secara tertutup di Istana Kinta dengan hanya dihadiri Ahmad Faizal, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi (1) Ipoh Datuk Hashim Hamzah.
Enam lagi yang dilantik adalah Mereka adalah Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad (Umno), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah-Umno), Mohd Akmal Kamarudin (Selama- Pas), Razman Zakaria (Gunung Semanggol-Pas), Datuk Abdul Yunus Jamhari (Bersatu) dan Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi daripada Bersatu.
Ahmad Faizal pada 13 Mac mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.