Perlu RUU baharu kekang judi dalam talian

Johor Bahru: Kerajaan perlu mewujudkan satu rang undang-undang (RUU) baharu bagi mengekang sindiket perjudian dalam talian membabitkan warga asing yang menjadikan negara ini sebagai pengkalan operasi mereka.

Peguam jenayah kanan, Muhammad Abd Kadir berkata, pengwujudan RUU baharu itu akan menjadikan penguatkuasaan dan pendakwaan lebih efektif memandangkan akta sedia ada sudah lapuk dan tidak lagi sesuai dengan keadaan masa kini.

Katanya, siasatan dan pendakwaan kegiatan judi di negara ini tertumpu kepada Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 1953) dan kali terakhir ia dipinda adalah pada 2013.

“Kerajaan perlu meneliti peningkatan kes yang menjadikan negara ini sebagai tapak operasi sindiket seperti perjudian dalam talian dan Macau Scam dengan mensasarkan warga negara asing sebagai mangsa.

“Tidak dinafikan akan timbul pertikaian undang-undang kerana tiada kesalahan predikat berikutan mangsa bukan berada di negara ini,” katanya kepada Harian Metro.

Biarpun Malaysia sudah mempunyai Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang dikenali sebagai POCA yang turut dipinda pada 2017 sebagai undang undang pencegahan, Muhammad berkata, satu RUU mengenai perjudian perlu lebih spesifik dengan hukuman lebih berat.

Menurutnya, Akta 1953 sudah lapuk kerana ia digubal ketika capaian internet belum wujud lagi dan ia lebih tertumpu kepada perjudian secara fizikal.

“RUU baharu ini perlu mencakupi secara menyeluruh, dengan kuasa mendapatkan maklumat dari institusi perbankan dengan lebih cepat diberikan kepada agensi penyiasat dan bukan pada Bank Negara Malaysia sahaja.

“Ia perlu lebih menyeluruh berikutan kompleksnya operasi perjudian dalam talian hari ini termasuk menghapuskan kekangan dan memberi kuasa untuk segera mendakwa mereka yang menjual talian prabayar kepada agen mempromosikan perjudian dalam talian,” katanya.

Katanya, beberapa negara maju sudahpun mewujudkan RUU yang lebih spesifik terhadap perjudian dalam talian dikenali sebagai ‘Remote Gambling Act’ yang sangat spesifik termasuk mengheret penyedia perkhidmatan talian ke mahkamah.

Akta berkenaan yang digunapakai seperti di Singapura, Remote Gambling Act 2014 sangat spesifik dengan memberi kuasa mendakwa terhadap penyedia atau pengendali tanpa mengira sama ada pemain tinggal di republik itu atau di luar negara.

Muhammad berkata demikian sebagai mengulas mengenai tangkapan dilakukan dua agensi penguatkuasaan terhadap beberapa individu termasuk bergelar Datuk Seri yang didakwa menjadi ejen kepada operasi perjudian dalam talian mensasarkan warga China yang berpangkalan di negara ini.