SEORANG pekerja syarikat pembersihan ditahan selepas dipercayai mencuri 30 kotak penutup mulut dan hidung bernilai RM3,000 di Hospital Kuala Lipis, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu mencuri penutup mulut dan hidung di dalam stor hospital berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu disedari seorang jururawat hospital selepas melihat hanya tinggal lima kotak penutup mulut dan hidung yang ada pada 4 petang berbanding 35 kotak pada 11.30 pagi.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang juga pekerja sebuah syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) memasuki wad dan menyusup ke stor berkenaan.
“Dalam rakaman itu, kelihatan suspek menuju ke stor itu 12.58 tengah hari dan keluar kira-kira dua minit kemudian dari pintu wad itu.
“Suspek didapati membawa barang di dalam plastik warna hitam dan beg galas biru disyaki mengandungi kotak penutup mulut dan hidung terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, suspek ditahan semalam dan mendapat perintah reman hingga 31 Mac ini untuk disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.