KELIBAT seorang wanita bersama anak kecil berjalan tanpa hala tuju di Jalan Putri di Taman Kota Puteri, Masai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merungkai permasalahan wanita itu dipercayai mengalami kemurungan.
Hasil maklumat awam, sepasukan anggota Unit Ronda Bermotosikal dihantar ke kawasan itu dan menemui dua beranak itu, kelmarin.
Menerusi kenyataan dikongsi di Facebook rasmi Polis Daerah Seri Alam, anggota yang dihantar turut membantu membelikan makanan buat dua beranak itu.
“Anggota URB Ibu Pejabat Polis Seri Alam berada di lokasi selepas menerima aduan orang awam yang meminta bantuan kerana dipercayai ibu kepada anak itu mengalami kemurungan.
“Waris kepada ibu dan anak ini berjaya dikesan dan diserahkan kepada keluarganya,” kata kenyataan itu.
Melalui empat foto dikongsikan, anggota URB turut memberi makanan dan minuman kepada anak kecil itu selain membelikan lampin pakai buang untuknya.
Kenyataan itu menjelaskan pada ketika PKP sedang dikuatkuasakan, polis menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga keluarga masing-masing dan tidak mengabaikan ahli keluarga yang sakit dan bermasalah.
Hantaran yang dimuatnaik itu serta dikongsi lebih 2,000 kali itu turut mendapat pujian daripada warganet terhadap anggota polis yang turut menjalankan kerja kemanusiaan sambil memastikan rakyat selamat.