LELAKI sanggup berjalan selama tiga hari ditemani anjing untuk pulang ke kampung di Kota Marudu dari Kota Kinabalu sebagai langkah berjaga-jaga ketika wabak Covid-19 melanda negara.
Alixson Mangundok, 34, berbuat demikian memandangkan dia berdepan risiko dijangkiti Covid-19 kerana baru pulang dari Jepun.
Anak jati Kampung Mangaris 2 Kota Marudu itu ketika dihubungi berkata, sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu 25 Mac lalu, dia terus ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk membuat ujian saringan Covid-19, walaupun tidak mengalami simptom.
Menurutnya, kisahnya membuat saringan turut tular di laman media sosial.
“Disebabkan keputusan belum keluar saya mengambil langkah berjaga-jaga dan memutuskan untuk berjalan untuk pulang ke kampung.
“Saya mula berjalan pada 26 Mac dan tiba di Kota Marudu pada 28 Mac. Sebaik tiba di kampung, saya mengasingkan diri sendiri dan tinggal di rumah kebun bapa bersama anjing bernama Cico yang menemani saya dari Luyang hingga ke kampung,” katanya.
Katanya, dia memutuskan untuk tidak menaiki pengangkutan awam atau balik bersama abang yang menjemputnya di lapangan terbang kerana khuatir keselamatan orang lain.
Katanya, dia hanya meminta abangnya membawa beg dan disimpan di rumah kebun tempat dia mengasingkan diri.
Menceritakan pengalamannya, Alixson berkata, sebelum ini dia sudah biasa merantau dan berjalan ke tempat jauh bukan satu masalah baginya.
“Paling tidak boleh lupa ketika melalui kawasan perkuburan Cina di kawasan Luyang.
“Mujurlah ada anjing yang saya jumpa di Luyang, Cico yang setia menemani saya sehingga ke Kota Marudu. Jika tidak bersama Cico, mungkin orang sekeliling menganggap saya orang jahat kerana berjalan pada waktu malam.
“Sepanjang perjalanan, kami berehat dan tidur di mana-mana perhentian bas yang berdekatan,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat ujian saringan kedua di Hospital Kota Marudu semalam.
Mengulas sedikit mengenai anjing yang menemaninya, Alixson menganggap anjing itu kiriman Tuhan untuknya.
“Sebelum saya balik ke Malaysia, saya sempat melawat kuburan Hachiko di Shibuya dan berdoa untuk keselamatan perjalanan saya dan berharap wabak ini cepat hilang.
“Saya menganggap Cico dihantar untuk menjaga saya sepanjang perjalanan saya dari Kota Kinabalu ke kampung halaman saya,” katanya.