Kes positif Covid-19 meningkat di Sabah

LIMA kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 285 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam statusnya di Facebook malam ini berkata, lima kes terbaru itu membabitkan Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Keningau.

“Manakala jumlah yang pulih adalah seramai 12 orang dengan bilangan kumulatifnya adalah 120 orang setakat ini.

“Bagi lain-lain daerah tidak mencatatkan sebarang peningkatan kes positif Covid-19,” katanya.

Semalam, Sabah menyenaraikan tambahan satu kes kematian dipercayai kes Covid-19 yang membabitkan satu kejadian penemuan mayat seorang lelaki di Pulau Gaya pada 6 April lalu.

Susulan itu, jumlah kes kematian adalah sebanyak empat kes setakat ini.

Mayat lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing ditemui itu tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, susulan itu, seramai 12 anggota yang melaksanakan tugas menyiasat termasuk mengangkat mayat mangsa diarahkan untuk kuarantin di rumah masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19