Penduduk sokong tutup lorong tikus

PENUTUPAN dua laluan keluar dan masuk ke Taman Paya Rumput Indah, Melaka disambut baik penduduk bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi umum.

Penduduk, Rosli Samad berkata, sebelum ini laluan terbabit menjadi lorong tikus buat orang ramai bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Paya Rumput dan taman berkenaan.

Menurutnya, disebabkan perkara terbabit orang ramai dari Alor Gajah berjaya melepasi sekatan berkenaan dengan memasuki dua lorong masuk di taman itu.

“Malah kawalan ketat di lorong itu bagi memastikan tiada pihak sesuka hati keluar rumah tanpa tujuan boleh menyebabkan jangkitan Covid- 19.

“Rondaan kerap dilakukan polis berjaya mengawal aktiviti perkumpulan yang boleh mendorong penyebaran wabak terbabit,” katanya.

Sementara itu, hari ini Melaka Tengah dikategorikan sebagai zon merah Covid-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan zon itu 26 kawasan setakat 12 tengah hari.

Melaka Tengah merekodkan 44 kes positif Covid-19 setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan